SELANGOR

Polis: Tulang manusia di UNITEN milik mangsa wanita

SEPANG, 11 APRIL: Tulang manusia yang ditemui seorang juruukur di sebuah kawasan hutan ladang getah terbiar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini semalam dipercayai milik wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, berkata DNA (asid deoksiribonukleik) wanita itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk pemeriksaan dan pihaknya turut berusaha mengesan identiti mangsa melalui pangkalan data laporan kes orang hilang.

Rangka manusia yang dipercayai berada di kawasan itu kira-kira setahun lalu, ditemui seorang juruukur bersama beberapa rakannya ketika sedang melakukan kerja ukur tanah di kawasan berkenaan, pagi semalam.

Beberapa barangan turut ditemui di tempat kejadian seperti selipar, pakaian, bantal, cincin, gelang, dan jaket, namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Abdul Aziz memaklumkan bedah siasat oleh pakar Unit Forensik Hospital Serdang mengesahkan bahawa rangka tulang itu adalah milik mangsa seorang wanita.

Mangsa yang dianggarkan mempunyai ketinggian antara 142 cm dan 146 cm tidak mempunyai tengkorak, lengan kanan dan pergelangan kaki kiri lengkap, berkemungkinan diganggu atau dilarikan haiwan liar, di kawasan hutan terbabit.

Beliau berkata, sampel DNA di bahagian peha kiri mangsa sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis.

“Punca kematian belum dapat dikenal pasti berdasarkan keadaan tulang berkenaan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :