SHAH ALAM, 6 April — Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) berkenan bergambar bersama para peserta pada Majlis Pelancaran Program Golden Industrial Festvet (GIFT) 2019 sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

Politeknik Malaysia rai Jubli Emas

SHAH ALAM, 6 APRIL: Institusi politeknik Malaysia hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-50 dengan mengadakan Program Golden Industrial Festvet (Gift) 2019 yang berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini.

Majlis disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua turut berkenan berbasikal bersama-sama 200 peserta sejauh 20 kilometer mengelilingi bandar raya ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohammad Naim Yaakub.

Dalam titah perasmiannya, Tuanku Syed Faizuddin mahu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkasakan lagi untuk memenuhi keperluan industri serta memacu pembangunan negara.

“Umum mengetahui sepanjang 50 tahun penubuhan politeknik kita telah banyak melakar dan menempa nama di sama ada di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

SHAH ALAM, 6 April — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri duduk) dan Raja Puan Muda Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan duduk) berkenan melakukan aktiviti mencanting pada Majlis Pelancaran Program Golden Industrial Festvet (GIFT) 2019 sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Kejayaan yang membanggakan ini mesti dikekalkan agar kita dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, holistik, berdaya saing dan berciri usahawan pada masa akan datang,” titah baginda.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Mohammad Naim berkata sistem pendidikan politeknik Malaysia telah diiktiraf sebagai penyedia akses kepada program TVET yang berkualiti dan sebagai wadah melahirkan pelajar holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan, selaras dengan lonjakan utama Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (Pendidikan Tinggi) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja nasional.

Katanya pelbagai kejayaan telah dilakar sepanjang 50 tahun penubuhan politeknik Malaysia dan usaha perlu diteruskan dan ditambah baik bagi memperkasa pendidikan TVET agar kekal relevan dan menjadi institusi TVET tersohor di ASEAN menerusi pendidikan dan latihan berpandukan keperluan pihak industri. -BERNAMA


Pengarang :