NASIONAL

Pos Malaysia bakal lancar setem ‘Lebah Madu Di Malaysia’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem ‘Lebah Madu Di Malaysia’, pada 9 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, tiga setem dengan nilai muka 60 sen setiap satu dihasilkan untuk siri kali ini.

Katanya, antara spesies lebah madu yang diketengahkan adalah Lebah Tualang (Apis Dorsata), Lebah Kampung (Apis Cerana) dan Lebah Kerdil Hitam (Apis Andreniformis).

“Kami mahu mendidik pengumpul setem dan orang ramai berkenaan kepentingan lebah madu dari sudut kepentingan ekonomi serta fungsinya dalam pendebungaan buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-benih tanaman.

“Kita juga sedia maklum Malaysia adalah pengeluar madu terbaik di rantau ini dan ini semuanya hasil daripada keluaran Lebah Kelulut di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lebah mempunyai risiko kepupusan akibat permintaan tinggi terhadap madu lebah liar, sekali gus meningkatkan penuaian madu lebah secara berlebihan yang boleh menyebabkan kekurangan populasi lebah madu berkenaan.

“Justeru, siri setem ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pengumpul setem dan orang ramai berkenaan kepentingan cara penuaian madu lebah yang betul serta pemuliharaannya,” katanya.

Bagi siri ini, hanya 600,000 keping setem dihasilkan membabitkan tiga lembaran setem (200,000 keping setiap reka bentuk) bernilai RM12 setiap satu dikeluarkan dan setiap lembaran mengandungi 20 keping setem.

Untuk melengkapkan siri berkenaan, Pos Malaysia turut menghasilkan 22,000 keping Lembaran Mini (MS) bentuk khas (die cut) yang menampilkan Ratu Lebah Kelulut dan lebah pejantan serta lebah pekerja (Heterotrigona Itama) dengan nilai muka RM4 setiap satu.

Cap tarikh khas bagi siri ini menampilkan lebah madu dan sarangnya.

Produk filateli lain termasuk 27,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC) dengan risalah percuma dijual pada harga 50sen setiap satu, manakala 1,600 keping folder boleh didapati pada harga RM6 setiap satu dan set lengkap siri setem ini dijual pada harga RM52.80 setiap satu.

Terdahulu, Pos Malaysia mengeluarkan siri bertemakan serangga antaranya Siri Serangga pada Julai 1991, Pepatung pada November 2000 dan Kelip-Kelip, pada Mei 2010.


Pengarang :