NASIONAL

PPM tahan lelaki seludup keluar tong gas

TAWAU, 16 APRIL: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki warga Indonesia di laut Sungai Haji Kuning selepas cuba menyeludup keluar tong gas memasak ke negara asalnya, semalam.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab terserempak dengan sebuah bot mencurigakan dan pemeriksaan mendapati juragan berusia 30 tahun itu membawa lima tong gas memasak disembunyikan di ruangan belakang bot.

“Juragan memiliki pasport itu bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri dalam pada itu berkata juragan serta barang rampasan bernilai RM14,000 ditunda ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-BERNAMA


Pengarang :