GLOBAL

Presiden Algerian mungkin lepas jawatan esok

KAHERAH, 1 APR: Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika mungkin mengumumkan peletakan jawatan beliau atas sebab-sebab kesihatan esok susulan tunjuk perasaan besar-besaran di negara itu dan desakan oleh panglima tentera darat, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik stesen penyiar Ennahar yang menemu bual sumber politik.

Pada 31 Mac lalu, Bouteflika telah melantik barisan menteri kerajaan yang dilihat sebagai langkah awal bagi peletakan jawatan beliau, menurut akhbar El Khabar.

Media melaporkan bahawa Bouteflika dijangka mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam tempoh dua hari akan datang.

Algeria berdepan gelombang tunjuk perasaan anti-kerajaan yang dicetuskan oleh hasrat Bouteflika untuk bertanding jawatan presiden bagi penggal kelima.

Pada 11 Mac, susulan tunjuk perasaan itu, Bouteflika menarik balik hasrat beliau untuk bertanding semula dan menangguhkan pengundian, yang asalnya dijadualkan pada 18 April.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan berterusan dengan rakyat menuntut perubahan segera.

Pada Selasa, Panglima Tentera Darat Algeria Jeneral Ahmed Gaid Salah menggesa kerajaan melaksanakan Perkara 102 perlembagaan negara itu bagi membolehkan Majlis Perlembagaan mengisytiharkan jawatan presiden Algeria sebagai kosong jika pemimpin tersebut tidak mampu memerintah disebabkan masalah kesihatan.

— BERNAMA


Pengarang :