BERITA UTAMASELANGOR

Prihatin antara satu sama lain, terus bina keharmonian – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR : Kata-kata ‘Melayu tolong Melayu, Cina tolong Cina dan India tolong India’ tidak sepatutnya timbul di waktu masyarakat cuba membina keharmonian sesama kaum, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, pegangan sedemikian antara punca isu perkauman tercetus sedangkan setiap manusia perlu prihatin dan berkasih sayang terhadap semua insan termasuk haiwan.

“Melalui sifat prihatin sebegini barulah kita akan berjaya melahirkan kelompok yang harmoni dan saling mengenali tanpa rasa curiga sebagaimana yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Ia termasuklah melalui kejadian di New Zealand dan juga Sri Lanka, disebabkan adanya golongan yang berasakan mereka lebih berkuasa dengan semangat perkauman menebal menyebabkan rasa curiga membuak-buak sekali gus menyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2018 bagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta hampir 500 pelajar cemerlang seluruh Selangor.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengangkat martabat setiap kaum termasuk masyarakat India di Selangor.

Katanya, disebabkan itu Kerajaan Negeri bersungguh-sunguh melaburkan peruntukan dalam bidang pendidikan bagi memastikan kaum India tidak ketinggalan.

“Melalui pendidikan, kita boleh mengubah martabat kelompok dan bangsa, termasuk perubahan sosial serta ekonomi.

“Kekayaan tidak dapat selalu kekal tetapi ilmu yang ditanam pada generasi masa depan akan membentuk masa depan lebih baik dan masyarakat lebih gemilang,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 357 pelajar cemerlang menerima sumbangan duit saguhati dari Kerajaan Negeri, tidak ketinggalan lima guru turut dinobatkan sebagai Tokoh Guru SJKT 2018.

Sementara itu, SJKT Simpang 5 merangkul sekolah terbaik peringkat Selangor dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, SJKT Puchong Batu 14 ditempat kedua dengan hadiah RM6,000 dan SJKT Kajang sebanyak RM4,000.

 

 


Pengarang :