NASIONAL

PRK Rantau: 55% keluar mengundi hingga jam 1 tengah hari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 APR: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mencecah 55 peratus sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Jumlah itu diumumkan di laman media sosial facebook Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala sejam sebelumnya ia mencatatkan peratusan pada kadar sekitar 47 peratus.

SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus akan keluar pada PRK kali ini.

Hari ini seramai 20,793 daripada 20,804 pengundi DUN Rantau akan keluar mengundi di 14 pusat mengundi.

Manakala seramai 11 orang telah mengundi secara pos sebelum ini.

Pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup 5.30 petang nanti.

PRK DUN Rantau iaitu PRK ketujuh diadakan berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN).

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr S Streram, Mohamad (BN) serta dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.


Pengarang :