NASIONAL

PRK Rantau catat peratusan keluar mengundi 79.31 peratus – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pada PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 79.31 peratus melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya agak gembira kerana semua pengundi keluar mengundi dalam suasana yang aman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Rantau di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor personaliti dan kesedaran pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka menjadi antara penyumbang peratusan keluar mengundi itu.

“Bagi pihak SPR pula kita adakan kempen seperti biasa macam kempen ‘Jom Kita Mengundi’… saya rasa media massa, televisyen juga telah berjaya menaikkan minat pengundi untuk keluar mengundi. Terima kasih juga kepada media massa,” katanya.

PRK DUN Rantau adalah yang ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

PRK DUN Semenyih mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.35 peratus, DUN Sungai Kandis (49.4 peratus), Balakong (43 peratus), Seri Setia (44.1 peratus) sementara PRK Parlimen Port Dickson (58.2 peratus) dan Parlimen Cameron Highlands (68.79 peratus).

Mengulas mengenai laporan berhubung kesalahan yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Azhar Azizan berkata, 23 laporan diterima setakat semalam.

“Laporan polis sebanyak 50 manakala laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tiada. Secara amnya kesalahan kecil seperti pasang banner, adakan kempen tanpa permit dan juga kempen yang ada permit kata kempen bergerak – tetapi diadakan secara statik,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menunjukkan kertas undinya selepas beliau mengundi, Azhar Azizan berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dahulu.

“Saya pun tak tahu… saya kena baca peraturan dan menelitinya, yang saya tahu undi adalah rahsia dan kerahsian undi seseorang itu orang lain tidak boleh pecahkan kerahsiaan itu, kalau dia yang nak pecahkan, itu saya kurang pasti sama ada ia dihalang undang-undang atau tidak,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN itu selepas menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :