NASIONAL

PRK Rantau: Cuaca diramal tidak menentu pada hari pengundian awal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APRIL: Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca tidak menentu sepanjang proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, yang bermula esok.

METMalaysia melalui laman sesawangnya memaklumkan, cuaca pada awal pagi diramalkan cerah namun bertukar ribut petir, pada waktu petang.

“Suhu pada waktu pagi bermula dari 24 hingga 32 darjah celcius, sementara waktu petang 30 hingga 33 darjah celcius,” kata kenyataan itu.

Ramalan berkenaan dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Metereologi Malaysia.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan seramai 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK Rantau mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 25 Februari.

Ia terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak sah dan terbatal.

Calon KEADILAN bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi itu.


Pengarang :