NASIONAL

PRK Rantau: Polis buka 15 kertas siasatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban mengesahkan setakat ini pihaknya menerima 73 laporan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pegawai Media Polis PRK DUN Rantau, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin ketika ditemui media di Balai Polis Rantau menjelang proses pengundian awal berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka.

“Setakat hari ini, kita telah menerima lebih kurang 238 permohonan permit dan kesemuanya telah diluluskan. Selain itu, 73 laporan polis telah diterima dan 15 kertas siasatan dibuka.

“Bagi 15 kertas siasatan yang dibuka adalah di bawah kesalahan pilihan raya dan juga pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Begitupun, tiada apa yang serius berlaku yang dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya, lapor Astro Awani.

Seramai 110 daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal bagi PRK Rantau Pilihan akan mengundi pada hari ini.

Mereka adalah 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.

Baki seramai lapan pengundi yang terdiri daripada anggota tentera akan mengundi secara pos.


Pengarang :