PRK Rantau: Polis terima 11 laporan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

PRK Rantau: Polis terima 11 laporan

SEREMBAN, 1 APR: Polis menerima 11 laporan setakat dua hari tempoh berkempen antaranya membabitkan kesalahan berkempen tanpa permit, kata Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, DSP Ahmad Jamaludin.

Beliau berkata daripada kesemua laporan diterima, satu sudah dibuka kertas siasatan manakala yang lain masih dalam siasatan.

“Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, berkempen tanpa permit yang sah manakala selebihnya masih dalam siasatan. Antara laporan polis itu termasuk berhubung kehilangan pas media dan lain-lain laporan berkaitan pemantauan semasa kempen PRK DUN Rantau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau berkata setakat ini, polis meluluskan 15 permohonan permit daripada pihak yang bertanding untuk mengadakan ceramah umum dan tinjauan mesra.

“Setakat ini, tahap keselamatan dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pihak yang menjalankan kempen supaya memohon permit bagi tujuan kelulusan, pemantauan dan keselamatan.

Sementara itu, Balai Polis Rantau dan Pangkalan Udara (PU) Sendayan merupakan lokasi bagi pengundian awal, 9 April ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

– BERNAMA

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next