NASIONAL

PRK Rantau: Proses pengundian berjalan lancar – Polis

SEREMBAN, 13 APR: Proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sehingga semua 14 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini, berjalan lancar.

“Pada keseluruhannya keadaan adalah terkawal dan proses mengundi berjalan dengan lancar,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis memberikan kawalan ketat terhadap semua pergerakan peti undi yang akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, dekat sini untuk pengiraan undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat 4 petang ialah 74 peratus dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh orang).

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :