NASIONAL

PRK Rantau: Sokongan kaum India dapat pastikan kemenangan PAKATAN

SEREMBAN, 6 APRIL: KEADILAN yakin sokongan padu masyarakat India kepada calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr S. Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak mustahil memberi kemenangan kepada parti itu

Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, pengundi di Rantau perlu memastikan kemenangan calon PAKATAN bagi memastikan kelancaran parti pentadbir negara meneruskan khidmatnya kepada rakyat.

“Walaupun ini hanya PRK, tetapi jangan main-main ini masa depan tuan puan… kalau kaum India semua sokong kita 100 peratus, saya jamin calon kita akan menang,” katanya semasa berucap di program Hi-Tea Taman Kelab Tuanku, di sini, hari ini.

“Pilih wakil rakyat dari PAKATAN, beliau sekarang mewakili kerajaan negeri dan kerajaan negeri sekarang ialah PAKATAN yang juga merupakan kerajaan persekutuan, kita semua satu parti apa-apa bantuan, khidmat dan sebagainya lebih senang untuk kita buat kerja,” katanya.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal serta empat orang pengundi tidak hadir luar negara, dan daripada jumlah itu, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau merupakan PRK ketujuh selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

— BERNAMA

 


Pengarang :