NASIONAL

PRK Rantau tiada unsur sabotaj

PORT DICKSON, 21 APRIL: KEADILAN dalam siasatan awalnya mengesahkan tiada unsur sabotaj pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 13 April lalu.

Bagaimanapun, presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung isu itu.

“Berdasarkan laporan awal setakat ini tiada. Saya tidak nampak sebarang tanda sabotaj.

“Laporan lengkap saya belum terima kerana ia akan dibawa kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengarah PRK DUN Rantau,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Sebelum itu, beliau ditemui pada Program Sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat DUN Bagan Pinang bersama Hari Ladang Pejabat Pertanian Port Dickson, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Rantau bukanlah satu perkara mengejutkan kerana kawasan terbabit kubu kuat Barisan Nasional (BN) untuk tempoh masa lama.

“Kita dalam politik harus terima kenyataan bahawa kawasan itu (Rantau) adalah kawasan kubu (BN). Jadi, saya rasa perkara itu bukan satu yang mengejutkan, kalau kalah di kubu PH seperti Permatang Pauh atau Port Dickson barulah jadi masalah.

“Sebagai pemimpin dan ketua, saya perlu menunjukkan contoh yang baik dan meneruskan perjuangan walaupun penilaian awal menunjukkan peluang untuk menang di Rantau amat sukar,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN itu selepas menewaskan calon PH, Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.


Pengarang :