NASIONAL

PRK Sandakan 11 Mei, penamaan calon 27 April

PUTRAJAYA, 5 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sandakan pada 11 Mei dengan hari penamaan calon pada 27 April serta pengundian awal pada 7 Mei.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam sidang media di sini hari ini berkata PRK berkenaan, yang dijangka membabitkan kos RM3.1 juta, akan melibatkan 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata seramai 770 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK itu dan 21 buah pusat mengundi dengan 92 saluran akan digunakan pada PRK berkenaan.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wong memenangi kerusi P186 Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.

PRK Sandakan merupakan PRK kelapan selepas PRU-14.

Azhar berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan untuk PRK Sandakan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 10 Mei.

Beliau berkata, SPR melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai pegawai pengurus PRK Sandakan dan beliau akan dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus.

“SPR menubuhkan empat pasukan penguat kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Azhar berkata, SPR akan menggunakan dewan aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Katanya borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 April di pejabat pegawai pengurus pilihan raya di Majlis Perbandaran Sandakan atau pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah atau di ibu pejabat SPR Putrajaya.

Bakal calon PRK Sandakan dinasihatkan supaya mengisi borang penamaan calon dan membuat semakan awal dengan pihak pejabat pengawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Sabah sebelum hari penamaan calon, katanya.

Mengenai penambaikan yang dilakukan SPR pada PRK Sandakan, Azhar berkata dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas disediakan di pusat mengundi.

“Tempoh masa pengundian turut dipanjangkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini,” katanya.

Azhar berkata, sebanyak 17 saluran baharu ditambah menjadikan jumlah keseluruhan saluran mengundi kepada 92 berbanding 75 pada PRU-14 lepas.

Ditanya mengenai pengundian awal PRK Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan pada 9 April ini, Azhar berkata seramai 118 pengundi awal dan dua pusat mengundi akan terlibat.

“Setakat ini persiapan untuk pengundian awal PRK DUN Rantau berjalan lancar,” katanya.

PRK DUN Rantau pada 13 April menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional) dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

– BERNAMA


Pengarang :