NASIONAL

PRK Sandakan: Lebih 600 pegawai, polis bertugas

TAWAU, 25 APR: Lebih 600 pegawai serta anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan berlangsung bermula hari penamaan calon sehingga penjumlahan undi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata penempatan anggota itu sebagai memastikan proses demokrasi berkenaan berjalan lancar.

“Anggota yang bertugas akan ditempatkan di lokasi strategik selain pusat pengundian dan penjumlahan undi,” katanya kepada pemberita selepas program Town Hall Discussion: Komuniti Sejahtera, Mencegah Jenayah Tanggungjawab Bersama di sini, hari ini.

Omar bersama Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menjadi panel jemputan bagi Town Hall Discussion itu.

Omar dalam pada itu menasihatkan semua pihak termasuk anggota parti bertanding agar mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PRK berjalan.

“Masa penamaan calon dan sehingga penjumlahan undi, elak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan provokasi, bertindak agresif atau mengeluarkan hasutan sehingga mengundang perbalahan antara penyokong parti lawan,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan agar calon bertanding tidak membawa penyokong ramai semasa penamaan calon.

“Jangan bawa penyokong yang begitu ramai sebab kalau begitu ramai berlaku limpahan penyokong dan bercampur dengan penyokong parti lawan, sekali gus dikhuatiri berlaku provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan,” katanya.

Omar turut menasihatkan semua pihak menghormati antara satu sama lain bagi melancarkan perjalanan PRK ini.

— BERNAMA


Pengarang :