NASIONAL

PRK Sandakan: Penamaan calon bermula 9 pagi

SANDAKAN, 27 APR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan bermula 9 pagi ini di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di sini.

Hujan renyai-renyai tidak menghalang kehadiran penyokong parti yang bertanding untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Penyokong DAP berkumpul di BDC Light Industrial manakala penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) berhimpun di Bandar Maju, kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan pusat penamaan calon.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke SMJK Tiong Hua ditutup dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal 6 pagi tadi.

Calon-calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Setakat ini, DAP mengumumkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu penyandang anggota Parlimen Sandakan sebagai calon, manakala PBS mempertaruhkan bekas anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63.

Sementara, calon Bebas disebut-sebut akan bertanding pada PRK itu ialah ahli perniagaan Chia Siew Yung, bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Samat dan bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Hamzah Abdullah.

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Pada 5 April lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan ditetapkan hari ini, dan hari mengundi pada 11 Mei depan dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Tanjong Papat dan Elopura – dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU14, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi setelah menewaskan calon BN Datuk Lim Ming Hoo.

– BERNAMA


Pengarang :