NASIONAL

PRK Sandakan: SPR keluar 177 kertas undi pos

SANDAKAN, 28 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 177 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos bermula pada jam 11 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Persidangan Tingkat 1, Wisma Perbandaran Sandakan meliputi kategori undi pos yang membabitkan lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Katanya, mereka ini terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya di New Zealand, Nepal dan Korea Selatan.

“Seramai 172 orang pengundi yang terdiri daripada petugas pilihan raya (Borang 1A)”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

Azhar berkata proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Bebas.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu. Pemerhati daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Darul Ehsan (IDE) turut hadir semasa proses tersebut,” katanya.

Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen Sandakan itu juga telah disiarkan secara langsung di Facebook SPR bagi menunjukkan proses berkenaan dilakukan secara telus dan adil, katanya.

Selain itu, beliau berkata ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Azhar berkata, sampul keutamaan undi pos PTH luar negara telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi terbabit.

Katanya, sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus mulai esok.

Beliau berkata SPR mengingatkan semua pengundi pos, supaya mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan sebelum 5 petang pada hari mengundi, 11 Mei ini.

Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Sekiranya perbuatan itu dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya, kata Azhar.

– BERNAMA


Pengarang :