NASIONAL

PRK Sandakan: Vivian Wong mahu tunai janji mendiang bapa

SANDAKAN, 29 APRIL: Calon DAP bagi Pilihan Paya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kepada rakyat, di Parlimen itu.

Wong, 30, berkata beliau berpegang kepada prinsip mendiang bapanya, iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan.

“Sebagai anak yang mengikut perjuangan politik dan bekerja di bawah bapa ketika mendiang sebagai wakil rakyat dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, saya mahu menyelesaikan janji kepada rakyat yang belum ditunaikan,” katanya pada ceramah umum di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, malam tadi.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, semangat dan keyakinan bapanya menjadi pendorong penting kepadanya dalam perjuangan politik terutama membantu golongan yang memerlukan perhatian.

Beliau juga sudah bersedia dan nekad meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sedar setiap hari rakyat perlukan kami dan sebab itu konsep sentiasa turun padang yang menjadi pendekatan penting mendiang bapa akan saya teruskan terutama jika menerima aduan daripada rakyat,” katanya.

Seperti mendiang bapanya, Wong yang mula bergiat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP mahu menumpukan kepada aspek pembangunan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Justeru, katanya, keputusan Kerajaan Persekutuan meneruskan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya.

Katanya, ia akan meningkatkan jumlah pesawat mendarat di lapangan terbang itu dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.

“Jika industri pelancongan di daerah ini meningkat, sudah tentu akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja khususnya golongan muda dan tidak perlu mencari kerja di tempat lain.

“Saya menyedari kekurangan peluang pekerjaan di daerah ini kerana selepas pengajian di Australia, saya juga bekerja di Kuala Lumpur disebabkan kurangnya peluang dan bidang yang sesuai di sini,” kata graduan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia.

PRK Sandakan menyaksikan Wong ditentang empat calon iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas, iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Hari pengundian awal diadakan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei ini.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

-BERNAMA


Pengarang :