BERITA UTAMASELANGOR

Program Santai Teh Tarik bersama Empat Putra Mahkota palsu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menafikan penglibatan baginda dalam program Santai Teh Tarik bersama Empat Putra Mahkota seperti tertera dalam poster yang tular baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada DYTM Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar dalam kenyataan dikeluarkan dari Istana Mestika, hari ini.

“Penggunaan gambar DYTM Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali.

“Justeru, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak Istana,” menurut kenyataan dari Pejabat DYTM Raja Muda Selangor.

Semalam, sebuah portal media tempatan melaporkan, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam mengumumkan suatu ‘sesi teh tarik’ bersama empat putera mahkota akan diadakan.

Namun, kira-kira sejam kemudian majlis itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana ‘menerima beberapa panggilan telefon’.

Lokman didakwa menyebarkan suatu poster menyatakan majlis yang dikatakan itu akan berlangsung di Melaka pada Isnin hadapan dan dihadiri empat putera mahkota dari Johor, Selangor, Pahang dan seorang lagi putera yang tidak dinamakan.

Beliau menjemput orang ramai hadir beramai-ramai pada majlis itu selain boleh berswafoto dengan putera mahkota berkenaan.

Bagaimanapun, sejam kemudian Lokman menghantar satu lagi maklumat di aplikasi Whatsapp menyatakan majlis itu tidak dapat dilangsungkan.

 

 

 


Pengarang :