NASIONAL

Program Sulam dipelopori UTM diperluas ke universiti, politeknik

KOTA TINGGI, 14 APR: Program Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam) yang dipelopori Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan diperluas ke universiti dan politeknik lain di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Sulam merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti.

“Program ini (Sulam) memberi pengalaman pembelajaran yang mengaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti.

“Manakala, penduduk setempat seperti di Pulau Tanjung Surat pula bakal memperoleh manfaat melalui program sebegini di mana pelbagai kemudahan dan infrastruktur dapat disediakan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sulam di Pulau Tanjung Surat, Pengerang, di sini semalam.

Maszlee berkata, beliau percaya Sulam dapat menghasilkan graduan yang bakal menjadi lentera kepada kemajuan masyarakat dan UTM pada dasarnya mempunyai kepakaran yang pelbagai dari sudut teknologi.

“Saya difahamkan seramai lebih 200 orang mahasiswa dari pelbagai disiplin telah berkongsi kemahiran mereka dengan penduduk kampung dan komuniti di Pulau Tanjung Surat melalui pendekatan Sulam sejak November 2017 dengan membawa tema eko-warisan pelancongan,” katanya.

Katanya, pemilihan Pulau Tanjung Surat, amat bersesuaian dengan program Sulam kerana keunikannya dan kaya dengan sejarah dan warisan.

“Kepakaran penyelidik dan konsep universiti untuk masyarakat yang diketengahkan oleh UTM boleh membantu masyarakat khasnya di Pulau Tanjung Surat meningkatkan kemajuan mereka walau tinggal jauh dan terpencil.

“Tadi saya melihat permainan jong yang patut diteruskan dan saya percaya dengan adanya program Sulam, segala sumber budaya yang ada di sini turut dapat diketengahkan sebagai ikon untuk memperkenalkan Pulau Tanjung Surat ke serata dunia,” katanya.

Hadir sama, pada majlis itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir; Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :