Projek Gerbang Maritim berjaya pulih Sungai Klang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Projek Gerbang Maritim berjaya pulih Sungai Klang

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Sungai Klang yang dahulunya diklasifikasikan sebagai tercemar, sudah berubah wajah dan semakin pulih hasil program pembersihan dan pemuliharaan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) menerusi inisiatif Menteri Besar Incorporated (MBI).

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, program yang dilaksanakan sejak 2016 itu berjaya meningkatkan kualiti air selain dapat mengembalikan ekosistem semula jadi di sepanjang kawasan sungai itu.

Kualiti air sungai yang kian pulih membolehkan aktiviti air dilaksanakan, termasuklah pembangunan kawasan sungai dan perkhidmatan pengangkutan air yang sekali gus dapat mengembalikan Sungai Klang sebagai lokasi riadah.


“Hasil fasa pembersihan ini, kita berjaya meningkatkan indeks kualiti air (IKA) daripada Kelas V (tercemar dan berbahaya) kepada Kelas III (sederhana baik).

“Malah sejak sungai dibersihkan, kita turut mengesan kehadiran hidupan liar seperti memerang. Ini petanda positif bahawa ekosistem sungai ini sudah kembali sihat,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Katanya, kira-kira 50,000 tan metrik sampah dengan 60 peratus daripadanya sisa plastik berjaya dikeluarkan dari sungai itu bagi fasa pembersihan dalam tempoh tiga tahun.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Selangor yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang membabitkan kawasan seluas 35,612 hektar di sepanjang sungai berkenaan yang merangkumi komponen pembangunan seperti perdagangan, perhotelan, pelancongan, perumahan dan industri perkhidmatan.

Sementara itu, LLSB pula adalah anak syarikat MBI yang bertanggungjawab melaksanakan tiga aktiviti utama projek iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan sepanjang Sungai Klang sememangnya strategik dan mempunyai potensi tinggi nilai pelaburan yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.

“Menerusi tiga aktiviti itu ia bakal merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan sepanjang Sungai Klang sebagai ‘Smart Central Economic Region’.

“Sejarah membuktikan Sungai Klang satu ketika dahulu adalah laluan air yang sibuk atau ‘highway’ dengan aktiviti perdagangan. Kelestarian dan pembangunan mampan di kawasan sungai ini akan memberi manfaat besar kepada sosioekonomi rakyat negeri ini,” katanya.

Syaiful Azmen berkata dua daripada lima projek pemangkin dalam fasa pembangunan Sungai Klang, membabitkan proses menaik taraf Taman Awam Pengkalan Batu, Klang dan pembinaan taman paya bakau Mangrove Point, yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2020.

“Dua projek itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat. Bagi Mangrove Point, laluan pejalan kaki yang akan dibina membolehkan orang awam menyelurusi keindahan biodiversiti hutan bakau, menggalakkan terapi alam bagi golongan istimewa dan membuka ruang penyelidikan saintifik di sini,” katanya.

Untuk rekod, projek Mangove Point telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Landscape Analysis & Study Awards di bawah kategori profesional Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) 2019 anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) baru-baru ini.

Antara projek pemangkin lain yang dalam perancangan adalah pembinaan pasar atas air atau ‘grand bazar’ yang bakal menjadi kawasan tarikan baharu pelancongan dan perniagaan di kawasan itu, katanya.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next