SELANGOR

Projek naik taraf jalan wilayah utara rancak ekonomi Ijok

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 27 APR: Ekonomi Pekan Ijok dijangka lebih rancak hasil dari kerja Projek Naik Taraf Jalan Persekutuan FT54 dari Sungai Buloh ke Assam Jawa yang dijangka siap menjelang 2021.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan mengenai kerja naik taraf itu juga bakal memberi perkembangan positif buat wilayah utara Selangor, khasnya.

“Ini kerana laluan sepanjang 25 kilometer itu akan bersambung dengan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang juga adalah salah satu katalis pembangunan baru di wilayah utara Selangor dan Ijok.

“Saya yakin projek yang menelan belanja sehingga RM411 juta akan memberi kesan besar kepada pembangunan sekali gus merancakkan ekonomi di sini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika sesi taklimat Projek Naik taraf Jalan Persekutuan FT54 dari kontraktor iaitu Aktif Unggul Sdn Bhd ketika Program Jelajah Maju Bersama ke Kuala Selangor, petang semalam.

Hadir sama memberikan taklimat ialah Jurutera Penguasa Kanan Projek Khas Zon Tengah 2 Jabatan Kerja Raya, Ir Nasfiza Mokhtar dan kontraktor merangkap Pengurus Projek Aktif Unggul Sdn Bhd, Farid Abdullah.

Pada sesi taklimat berkenaan, Farid berkata, jalan yang mula dinaiktaraf sejak Ogos 2016 itu kini status kerja sudah hampir 59 peratus siap dan menunjukkan perbezaaan 20 hari lebih awal.

“Selain memberi kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk Selangor, jalan itu dinaiktaraf sebelum ini bagi mengurangkan kejadian kemalangan yang berlaku saban tahun selain menyuraikan kesesakan,” katanya dalam taklimat.


Pengarang :