BERITA UTAMASELANGOR

Projek ‘peremajaan’ kembalikan kegemilangan Klang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 APRIL: Projek Peremajaan Bandar Klang 2019 bakal melonjakkan kembali daerah itu sebagai destinasi penting dalam pelbagai sektor seperti ekonomi dan pelancongan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, sebanyak empat projek membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan itu yang dilaksanakan bermula 2017 hingga 2021.

“MPK akan menjalankan projek menaik taraf Padang Sultan Sulaiman, projek pembangunan Royal Klang Town Heritage Walk (RKTHW), projek landskap Taman Awam Padang Chetty dan projek pembangunan semula Jalan Raya Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan projek itu di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Mohd Yasid berkata, projek menaik taraf Padang Sultan Sulaiman yang menelan perbelanjaan sebanyak RM4.06 juta dimulakan pada Oktober 2018 dan dijangka siap pada Jun ini.

Katanya, MPK turut membelanjakan RM129,580 bagi membiayai projek pengindahan lanskap Padang Sultan Sulaiman yang siap pada Disember 2018.

“Peruntukan bagi projek RKTHW untuk menjadikan Klang sebagai destinasi pelancongan warisan dalam peta dunia pula membabitkan kos RM6 juta yang dijangka siap pada Disember ini.

“Manakala projek landskap Taman Awam Padang Chetty yang membabitkan kos RM2.5 juta bertujuan menjadikan taman awam sebagai dataran dan taman riadah yang interaktif dengan kepelbagaian aktiviti.

“Projek Pembangunan Semula Jalan Raya Timur pula dijangka siap pada 2020,” katanya.


Pengarang :