Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Projek rintis 5G landasan tangani isu relevan

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Teknologi baharu 5G yang sedang diuji di Cyberjaya dan Putrajaya menerusi projek rintis enam bulan akan memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan segala isu dan persoalan yang relevan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata input daripada syarikat-syarikat telekomunikasi akan membentuk sebahagian daripada cadangan mengenai 5G yang akan dikemukakan kepada kerajaan.

“Satu laporan akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama pasukan petugas, yang turut terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi, yang akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai pendekatan yang patut dilambil untuk generasi dan era 5G ini,” kata beliau.

Gobind berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ”2019 APPIES Malaysia Marketing Awards and Festival” di sini hari ini, yang dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada kempen pemasaran terbaik di negara ini.

“Bagi 5G, cadangan akhir hanya akan dibuat selepas kita menjalani proses ujian itu,” katanya yang menambah bahawa projek rintis itu akan mengkaji segala aspek termasuk mengenai infrastruktur, peralatan yang diperlukan dan lain-lain bagi memastikan ia berjaya.

Menteri itu turut menjelaskan bahawa walau apa pun pendekatan yang akan diambil untuk melaksanakan teknologi 5G, hakikatnya ialah dunia sedang menuju ke arah itu dan Malaysia perlu bersedia menghadapinya.

Ketika berucap terdahulu, Gobind berkata beliau percaya teknologi 5G akan melonjakkan ekonomi Malaysia secara dramatik.

“Ada yang kata kenaikan 10 peratus dalam kelajuan Internet boleh menyebabkan kenaikan 1.38 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi negara-negara sedang membangun,” kata beliau.

Beliau turut mengambil maklum bahawa 5G tidak akan berlaku dalam tempoh semalaman tetapi ia akan memasuki serta mencerahkan kehidupan kita secara berperingkat.

“Kita sudah mengenal pasti Cyberjaya dan Putrajaya sebagai kawasan untuk menjalankan ujian 5G – lokasi di mana industri boleh bekerjasama untuk menerokai keupayaan teknologi berkenaan, mengesahkan potensi kegunaannya dan memperhalusi model perniagaan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :