SELANGOR

Pupuk gaya hidup sihat dari awal

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Amalan gaya hidup sihat perlu dipupuk sehingga peringkat akar umbi dalam usaha mencegah pelbagai jenis penyakit masa kini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu kerana gaya hidup rakyat ketika ini boleh disifatkan masih amat membimbangkan.

Katanya, walaupun kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat sudah mula wujud dalam kalangan masyarakat, namun ia masih dipandang enteng sesetengah pihak.

“Jangan tunggu umur 60 tahun baru nak bersenam. Saya lihat kaum Melayu dan India dalam hal ini agak jarang tetapi kaum Cina daripada segi kesihatan bagus, pupuk kepentingan bersenam dari awal.

“Saya ingatkan ini termasuk diri sendiri. Dulu tiada rawatan, tidak macam sekarang. Sekarang ada ubat, panjangkan umur tapi kualiti kehidupan sudah hilang.

“Apa kualiti kehidupan jika kita terlantar sakit. Itu memang takdir tetapi kita boleh elak. Pencegahan lebih baik daripada merawat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival 3W di Dataran Morib, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah; Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Katanya, menjelang 2020, dianggarkan 30 peratus daripada populasi penduduk adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, justeru kerajaan bertanggungjawab memastikan mereka sihat dan menjalani hidup berkualiti.

Pada masa sama, Siti Mariah berkata, penyakit tidak berjangkit menjadi pembunuh utama di negara dan berkait rapat dengan gaya hidup seseorang.

Katanya, peningkatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung turut membimbangkan.

“Jika kita menghidap salah satu penyakit ini, ia akan berangkai daripada satu kepada satu (penyakit) sehingga ke buah pinggang.

“Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kesihatan diri sendiri kerana peruntukan dikeluarkan Kerajaan tidak akan cukup. Segala-galanya bermula daripada diri sendiri,” katanya.


Pengarang :