PBTSELANGOR

Pusat karaoke pelbagai kesalahan diserbu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 16 APRIL: Enam pusat hiburan karaoke di bandar Kuala Selangor, Pasir Penambang dan Tanjong Karang diserbu dalam operasi bersepadu, semalam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, hasil pemeriksaan mengejut itu mendapati salah sebuah pusat karaoke terbabit mempamerkan iklan minuman keras di luar premis.

Katanya, ekoran itu, pemilik premis dikenakan kompaun mengikut Undang–Undang Kecil Iklan MDKS dan jika bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

“Selain itu, dua lagi premis dikompaun akibat beroperasi tanpa lesen di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (Selangor) 1995 dan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda maksimum RM25,000.

“Operasi bersepadu ini turut dijalankan bersama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Rahilah menegaskan setiap peniaga dan pemilik premis hiburan di Kuala Selangor supaya sentiasa mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan.

Katanya, MDKS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang degil termasuk membatalkan lesen perniagaan.

“Tindakan ini bertujuan untuk mendidik serta mendisiplinkan peniaga, pengusaha dan pemilik premis supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan.

“MDKS tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar undang-undang, malah pemeriksaan dan operasi akan dilakukan secara konsisten dalam usaha membanteras pusat hiburan yang melakukan kesalahan,” katanya.

Kerjasama orang ramai diperlukan untuk menjadi mata dan telinga kepada MDKS, justeru mereka digalakkan untuk menyalurkan aduan secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439.

 


Pengarang :