NASIONAL

Putrajaya komited bantu Johor capai ekonomi mampan

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan kepada Johor berhubung komitmen Kerajaan Persekutuan membantu negeri itu mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, selain pembinaan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat.

Jaminan itu diberikan ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal di sini bagi membincangkan hal berkaitan pembangunan ekonomi negeri itu dalam pertemuan berlangsung selama kira-kira sejam.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian kepada beberapa isu yang dialami negeri itu termasuk penyelesaian masalah kesesakan di pintu masuk Malaysia dan Singapura di Tambak Johor dan Linkedua.

“Ini adalah keperluan mendesak memandangkan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia terutama di Johor menggunakan laluan itu dan kita mempunyai tempoh enam bulan untuk mengemukakan cadangan bersama Singapura berhubung perkara itu,” katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan hormat itu.

Beliau berkata, beberapa projek infrastruktur daerah di Johor turut dibincangkan dalam pertemuan itu, antaranya projek tebatan banjir di Batu Pahat yang memerlukan peruntukan selepas Dr Sahruddin membangkitkan masalah banjir di kawasan berkenaan.

Mohamed Azmin berkata, Johor adalah antara negeri penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia malah sumbangan rakyat negeri itu kepada ekonomi seharusnya diberi perhatian.

Beliau bercadang mengadakan lawatan ke Johor bagi meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri berkaitan perkara berkenaan dalam masa terdekat. -BERNAMA


Pengarang :