SELANGOR

Ramai tak sedar hari doktor 30 Mac lalu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 5 APR: Hari Doktor yang jatuh pada 30 Mac disambut dingin ekoran masyarakat umumnya tidak menyedari kewujudannya, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga berkata, penghargaan kepada golongan itu wajar diberikan berikutan peranan penting dimainkan kepada masyarakat dan negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor, lebih-lebih lagi sempena Hari Doktor pada 30 Mac lepas dan mungkin rakyat ramai tidak tahu.

“Pada hari doktor yang akan datang kita boleh menunjukkan penghargaan kita kepada doktor kerana kita ada hari jururawat dan kita tambah lagi dengan Hari Doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Ziarah Medik dan Pelancaran Mural Grafiti Selangor FM di Hospital Serdang di sini, hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai doktor berkata, secara umumnya doktor bertugas dengan sepenuh hati tanpa mengira masa bagi memenuhi keperluan rakyat yang memerlukan rawatan.

Bagaimanapun Siti Mariah berkata, doktor juga seperti manusia biasa lain yang kadang-kala terpaksa berhadapan dengan tekanan kerja.

Katanya, tekanan kerja seorang doktor dan pesakit mampu dikurangkan sekiranya kedua-duanya saling memahami antara satu sama lain.

Sebelum itu, Siti Mariah meluangkan masa bertemu pesakit di Klinik Pediatrik Hospital Serdang dan melancarkan mural grafiti sempena 72 Tahun RTM bersama Selangor FM.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiar Negeri Selangor, Mohamed Ayub Syed Mohamed; Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan dan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar.


Pengarang :