SUKANKINI

Rebut RM1,200 di Tournament Esports Selangor Qualifier 

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penggemar sukan elektronik (e-sukan) berpeluang membawa pulang wang tunai RM1,200 menerusi PES 2019 Tournament Esports Selangor Qualifier yang bakal berlangsung di Gamesbond Kota Damansara, pada 13 hingga 14 April ini.

Jabatan Belia dan Sukan Selangor menerusi laman Facebook memaklumkan, kejohanan e-sukan yang bakal dipertandingkan adalah ‘Pro Evolution Soccer’ (PES 2019) dan FIFA19.

“Kejohanan ini adalah sesi pemilihan rasmi atlet sukan elektronik (e-sukan) bagi mewakili Selangor di Sambutan Hari Sukan Negara 2019.

“Penyertaan dihadkan kepada 64 peserta terawal sahaja dengan kadar bayaran serendah RM10 dan peserta hendaklah menetap di Selangor,” tulisnya.

Kejohanan itu selaras dengan usaha kerajaan bagi memperkembangkan e-sukan yang kini dianggap setanding sukan fizikal lain, terutama dalam kalangan generasi muda.

Johan pertandingan berpeluang menerima hadiah wang tunai RM300, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM200 serta RM100.

PES adalah permainan video sukan bola sepak yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh Konami dan PES Malaysia mempunyai lebih 11,000 pengikut di Facebook.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

 


Pengarang :