Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
SELANGOR

Rebut RM21,000 dalam Pertandingan fotografi Shah Alam 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 APR: Pertandingan Fotografi Shah Alam 2019 bertemakan ‘Kami Sayang Shah Alam’ menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM21,000 berserta sijil kepada pemenang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pertandingan yang berlangsung mulai 1 April hingga 30 Ogos itu adalah percuma dan terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Senibina, Alam Semulajadi dan Gaya Hidup.

“Tempat pertama pertandingan bagi setiap kategori akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, tempat kedua RM2,000, ketiga RM1,000 dan hadiah saguhati berjumlah RM200 seorang untuk lima pemenang.

“Pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik, selain foto diambil perlu diambil dalam kawasan pentadbiran MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Shahrin memaklumkan, pertandingan itu adalah inisiatif pihaknya untuk memberi ruang dan peluang kepada orang ramai menyerlahkan bakat mereka, di samping menggalakkan masyarakat menghargai serta mencintai bandar raya Shah Alam.

“Peserta boleh mengambil foto di tempat-tempat menarik sekitar Shah Alam seperti lokasi pelancongan, bangunan, monumen, tasik, taman atau landskap.

“Melalui pertandingan ini, kita berharap orang ramai dapat mengenali bandar raya Shah Alam dengan lebih dekat yang mempunyai banyak tempat menarik seperti banguna tersergam indah, landskap menghijau dan penduduk berbilang kaum hidup secara aman serta harmoni,” katanya.


Pengarang :