NASIONAL

Remaja maut tertimbus tanah ketika sedang mendulang emas

KOTA BHARU, 19 APR: Seorang remaja berusia 17 tahun meninggal dunia akibat tertimbus tanah ketika sedang mendulang emas di sebatang anak sungai di Ladang Fokus Bonanza Biak A di Dabong, Kuala Krai petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Abdullah Roning berkata, remaja itu dikenali sebagai Mohamad Amiraasyraf Azman yang berasal dari Kampung Biak A, Dabong, Kuala Krai.

“Pihak kami menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 5.15 petang tadi yang mendakwa seorang remaja terjatuh dan tertimbus ke dalam anak sungai ketika sedang mendulang emas di kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati remaja yang juga buruh itu pergi mendulang emas di kawasan berkenaan bersama bapanya sebelum berlaku satu kejadian tanah runtuh, yang menyebabkan Mohamad Amraasyraf tertimbus,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Abdullah berkata, bapa Amaraasyraf kemudiannya mendapatkan bantuan rakan-rakan beliau untuk mencari anaknya, dan remaja itu dijumpai pada kira-kira pukul 6.40 petang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan awal di Klinik Kesihatan Dabong mendapati remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :