BERITA UTAMASELANGOR

RGG’19 cipta rekod baharu dalam MBOR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering (RGG’19) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghimpunkan seramai 343 pemilik motosikal scrambler dari seluruh negara.

Lebih istimewa, dua daripada motosikal berkenaan pernah digunakan dalam filem Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar era 90-an.

Edisi ketujuh perhimpunan motosikal terbesar yang berlangsung di Dataran Pantai Morib itu turut menyaksikan kehadiran hampir 30,000 pengunjung, khususnya penggemar jentera dua roda.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, acara selama dua hari itu bukan sahaja mengumpulkan motosikal retro, malah menjadi medan terbaik buat pemilik motosikal lama berkongsi idea dan pendapat berhubung penyelenggaraan, selain sumber mendapatkan alat gantian.

“Sejak ia mula diadakan pada 2014, kehadiran peminat yang datang ke sini meningkat saban tahun dan mungkin akan lebih meningkat pada tahun seterusnya.

“Walaupun cuaca panas, tetapi sambutan begitu hebat pada tahun ini. Kita harap program ini berterusan bagi menguatkan ukhwah silaturahim antara peminat dan pengguna yang aktif bermotosikal.

“Kita akan cuba memecah rekod pada tahun akan datang dan mengubah sedikit konsep kepada motosikal besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup RGG’19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Sementara itu, Mohammad Zain berkata, pihaknya komited menjadikan Pantai Morib sebagai lokasi penganjuran acara gah seumpama itu, sekali gus mampu menaikkan imej kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran ini memberi impak positif terhadap masyarakat, selain membantu merancakkan sosioekonomi penduduk di sekitar daerah ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :