PBTSELANGOR

RGG’19: Lebih 25,000 dijangka banjiri Dataran Pantai Morib

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 12 APRIL: Lebih 25,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Pantai Morib sempena acara himpunan motosikal terbesar, Retromania Grand Gathering (RGG’19), pada 13 dan 14 April ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan luar jangkaan diterima pihaknya melalui siri penganjuran terdahulu.

“Kita akan dapat melihat penyertaan besar kali ini kerana kita sudah menggiatkan promosi acara di seluruh semenanjung Malaysia beberapa minggu lalu, maka impak yang kita harapkan adalah daripada segi kedatangan pengunjung.

“Saya yakin kedatangan pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penunggang motosikal dari seluruh Malaysia, malahan penunggang dari luar negara yang bersedia untuk bersama memeriahkan acara selama dua hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, terdapat penyertaan dari Singapura, Thailand dan Sarawak dijangka tiba di Pantai Morib malam ini bersama jentera dua roda untuk membuat persiapan menjelang acara besar-besaran itu.

Pada masa sama, Mohammad Zain berkata, pengunjung diingatkan supaya menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang dua hari RGG berlangsung bagi memastikan kebersihan di sekitar Pantai Morib berada dalam keadaan terkawal tanpa dicemari sampah-sarap.

“Selama ini, kita menerima banyak komen daripada orang ramai berkaitan kebersihan, jadi kali ini kita akan menerapkan unsur kebersihan dalam bentuk praktikal supaya masyarakat sedar isu itu.

“Pantai Morib adalah pantai yang sentiasa dijaga, bahkan sentiasa memenangi pengiktirafan daripada aspek kebersihan dan keceriaan selain dijadikan sebagai pantai rekreasi yang menjadi kunjungan ramai,” katanya.

Pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebanyak dua kali, RGG’19 bakal mengetengahkan tema ‘Gila-Gila Zaman Remaja’ adaptasi daripada filem Gila-Gila Remaja.

Pelakon, Faizal Hussein yang popular dengan gelaran ‘Azroy’ dalam filem berkenaan juga akan tampil di pentas RGG.


Pengarang :