NASIONAL

Riding CEO 1.0 bantu mahasiwa selami dunia pekerjaan

OLEH IZRIN MOHD SAID

SHAH ALAM, 16 APRIL: Program Riding CEO 1.0 anjuran Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA), pada 14 April lalu membuka peluang kepada mahasiswa Universiti Teknologi MARA kampus Jengka, Pahang mendalami dunia pekerjaan dan keusahawanan.

EXCO PERSIDA, Dania Qistina berkata, program itu membuka mata dan mindanya menyelami dunia pekerjaan sebenar, sekali gus menjadikannya seorang yang aktif dan kreatif.

“Saya berharap program seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang supaya mahasiswa mempunyai visi dan misi lebih tepat dalam merancang perjalanan hidup selepas tamat belajar,” katanya.

Seorang lagi EXCO PERSIDA, Eliana Tan berkata, dia kini lebih serius memilih kerjaya sejurus mendengar perkongsian informasi dalam program itu.

“Melalui program ini, teknik penulisan ‘resume’ berkesan dan praktik semasa temuduga turut membantu saya membuat persediaan awal untuk menghadapi dunia pekerjaan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, program sehari yang disertai hampir 400 mahasiswa itu disempurnakan wakil Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Pahang Kampus Jengka, Junaidah Jamaluddin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd, Eddie Khodzali, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Suhazi Reza Selamat dan Penolong Pengurus Sumber Manusia Takaful Malaysia, Azmiruddin Mohd Zaman.


Pengarang :