EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka mengukuh berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 1 APR: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di awal dagangan pada Isnin ketika sentimen pasaran dipacu oleh perkembangan positif membabitkan rundingan dagangan Amerika Syarikat-China serta pendirian Rizab Persekutuan yang lebih berpihak kepada kadar faedah lebih rendah.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0750/0800 berbanding dolar US daripada 4.0800/0850 pada Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa ia tidak akan menaikkan kadar faedah tahun ini dengan satu kenaikan hanya dijangkakan pada 2020.

“Ini merupakan berita positif untuk mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0098/0137 daripada 3.0086/0128 dan rendah berbanding euro kepada 4.5746/5818 daripada 4.5737/5809.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6679/6734 daripada 3.6820/6872 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3077/3146 daripada 5.3122/3203.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :