EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 APR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan peningkatan sentimen terhadap unit tempatan itu susulan kenaikan harga minyak mentah global.

Pada 9.06 pagi ini, unit tempatan itu diniagakan pada paras 4.1380/1430 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata, permintaan belian terhadap ringgit meningkat susulan kenaikan niaga hadapan minyak mentah global yang menyaksikan Brent menokok 35 sen kepada US$71.97 setong manakala US West Texas Intermediate (WTI) naik 24 sen kepada US$64.00 setong.

“Ini merupakan perkembangan baik untuk hasil minyak dan gas negara.

“Malah, ringgit juga meningkat berikutan aktiviti belian ketika saham berharga rendah selepas ditutup pada paras terendah dalam tempoh hampir tiga bulan berbanding dolar AS pada Rabu berikutan kemungkinan bon Malaysia diturunkan penarafannya oleh penyedia indeks global, FTSE Russell,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, segelintir pelabur yakin bahawa kerajaan tidak akan membiarkan kemungkinan langkah oleh FTSE Russell serta tindakan dana kekayaan Norway menarik diri daripada bon kerajaan Malaysia, akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0525/0567 daripada 3.0535/0584 sewaktu ditutup semalam dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6963/7011 daripada 3.6991/6039.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3761/3830 daripada 5.3853/3935 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6507/6567 daripada 4.6579/6640 sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :