NASIONAL

Ringgit rendah dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini, walaupun harga minyak mentah lebih baik.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.1320/1350 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 semasa ditutup, pada Jumaat.

Peniaga berkata permintaan rendah turut mempengaruhi unit tempatan berikutan pasaran sedang pesat membangun menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

“Sentimen pasaran global secara keseluruhan masih lembap dalam keadaan harga minyak mentah yang tinggi,” katanya.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.97 peratus kepada US$72.64 setong.

Sementara itu, ringgit bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.6896/6933 daripada 3.6898/6949 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3666/3710 daripada 5.3707/3792.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0481/0541 daripada 3.0473/0514, ia merosot berbanding euro kepada 4.6452/6502 daripada 4.6446/6506. -BERNAMA


Pengarang :