NASIONAL

Ringgit susut lagi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dengan peniaga masih enggan melayani risiko selepas pengumuman data indeks pengeluaran perindustrian (IPP) bagi Februari agak lembap, termasuk unjuran pertumbuhan global lemah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pada 6 petang, ringgit mencatatkan pengurangan 0.17 peratus untuk ditutup pada 4.1120/1160 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100, semalam.

Ketua Urus Niaga dan Strategi Pasaran SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, data IPP Februari menyumbang kepada kemerosotan ringgit, kerana ia mampu mencetuskan lebih banyak aliran keluar ekuiti daripada stok sektor perlombongan dan tenaga yang penting.

IPP Malaysia naik sebanyak 1.7 peratus dari tahun ke tahun pada Februari, mencatatkan pertumbuhan paling tidak memberangsangkan sejak Jun 2018, berikutan indeks sektor pembuatan dan elektrik berkembang pada kadar lebih perlahan, manakala perlombongan mencatatkan kejatuhan agak ketara.

Innes berkata, indeks itu berkembang dengan lebih perlahan daripada jangkaan 2.2 peratus, menyokong pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerima pakai kecenderungan untuk kadar faedah lebih rendah disebabkan kejatuhan Indeks IPP boleh mengenakan kesan negatif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, yang sentiasa menjadi metrik utama yang dirujuk BNM.

“Apabila digabungkan dengan kemungkinan kadar faedah lebih rendah daripada BNM, data IPP titu dilihat mencerminkan isyarat negatif kepada peniaga mata wang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan nilai ringgit selaras dengan keadaan mata wang serantau, memandangkan naratif risiko kemerosotan dilihat semakin nyata, berdasarkan kepada semakan semula ramalan pertumbuhan global IMF terkini.

“Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan AS juga dilihat agak berwaspada dengan baki risiko agak condong kepada sisi negatif berdasarkan kepada kenyataan baru-baru ini.

“Oleh itu, keadaan sekarang bersifat pengurangan risiko dan kami percaya pasaran tukaran mata wang asing sudah menjadi terlalu berisiko, menyebabkan permintaan yang lebih tinggi bagi mata wang selamat,” katanya.

Minggu ini, IMF menurunkan ramalan pertumbuhan KDNK global bagi 2019 kepada 3.3 peratus daripada ramalan sebelumnya iaitu sebanyak 3.5 peratus dibuat, pada Januari tahun ini.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama

Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 3.7008/7048 daripada 3.6939/6987 dan menyusut berbanding pound British kepada 5.3826/3883 daripada 5.3673/3755 yang direkodkan semalam.

Mata wang tempatan itu juga jatuh berbanding euro kepada 4.6367/6428 daripada 4.6292/6361 dan berbanding dolar Singapura, ia merosot kepada 3.0383/0417 daripada 3.0347/0393. -BERNAMA


Pengarang :