Risiko pesara warga emas jadi usahawan? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Risiko pesara warga emas jadi usahawan?

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Dalam satu seminar pengurusan kewangan selepas persaraan, seorang ahli panel menyuarakan kebimbangan melihatkan semakin ramai pesara warga emas mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan dengan wang persaraan mereka.

Ahli panel itu yang juga perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berpendapat tindakan golongan itu satu percaturan silap kerana mereka berisiko tinggi menjadi mangsa sindiket penipuan skim cepat kaya.

“Sepanjang penglibatan saya dalam dunia kewangan menerusi bengkel serta mendengar pelbagai cerita akuan mangsa, didapati golongan pesara berisiko tinggi menjadi mangsa sindiket penipuan skim cepat kaya


“Ini kerana pesara kerajaan akan mendapat wang ganjaran selain pencen manakala pesara swasta menerima wang caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Merekalah yang menjadi tumpuan sindiket,” katanya di Bengkel Kewangan Islam ‘Bersara, Berharta Dan Berjaya’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman 19 tahun dalam dunia kewangan khususnya berkaitan pelaburan saham amanah, hartanah dan emas berkongsi cerita menyayat hati seorang pesara warga emas bernama Amir Ridzuan (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa sindiket skim cepat kaya kepada peserta bengkel.

Menurut Shamsuddin berkata perancangan pesara jurutera syarikat swasta tersebut menjadi usahawan ternakan ayam selepas bersara menjadi punca hilang segala wang persaraannya.

Malah dia turut menanggung beban hutang pinjaman peribadi berjumlah RM100,000.

“Dia berkenalan dengan seorang lelaki di media sosial yang memperkenalkan diri sebagai ejen yang boleh mendapatkan bekalan ayam dengan harga murah tetapi untung berganda.

“Amir mula sedar dia kena tipu selepas beberapa bulan tidak dapat menghubungi lelaki tersebut. Habis semua wang persaraannya berjumlah RM2 juta. Akhirnya, dia terpaksa bekerja makan gaji bagi menampung kehidupan dan bayar hutang,” kata Shamsuddin.

JADI USAHAWAN?

Menurut Shamsuddin, kesilapan Amir bukan sahaja kerana sikap tamak serta mudah menyerahkan wang berjuta ringgit kepada individu yang tidak dikenali tetapi juga disebabkan terlalu gelojoh mahu menjadi usahawan.

Sebagai seorang yang bekerja makan gaji dan tidak pernah berkecimpung dalam dunia perniagaan, langkahnya menceburi dunia perniagaan selepas umur bersara adalah percaturan berisiko tinggi dan sepatutnya tidak diikuti pesara lain

Ini kerana Amir tidak mahir selok-belok urusan jual beli, strategi perniagaan mahupun perancangan dunia bisnes yang penuh risiko dan sekali gus memberi peluang mudah kepada ejen sindiket memanipulasi Amir.

“Ramai pesara warga emas berminat ceburi dunia perniagaan. Sebenarnya, sekadar hadiri kursus yang baru beberapa hari dan hendak berkecimpung dalam dunia ini selepas bersara adalah kesilapan besar khususnya pesara makan gaji.

“Mereka tidak pernah merasai getirnya dunia perniagaan. Boleh dikatakan, majoriti kena tipu dengan skim cepat kaya adalah golongan pekerja makan gaji. Kalau ada 1000 orang, 999 mangsanya adalah pekerja makan gaji,” katanya.

Ini kerana, kebanyakan pekerja makan gaji gemar mendengar perkataan ‘tidak ada risiko’, ‘pastinya untung dan tidak akan rugi’, ayat promosi yang biasanya dikaitkan dengan skim penipuan tersebut berbanding individu yang sedari awal lagi terlibat dunia keusahawanan.

ROMBAK KURSUS

Bagi yang sudah lama berkecimpung dalam urusan jual beli, mereka sudah sedia maklum bahawa tidak ada satu perniagaan pun di dunia ini yang menjamin sesuatu pelaburan itu selamat tanpa ada sebarang kerugian.

“Pelaburan tinggi tanpa atau kurang risiko tak logik tetapi itulah modus operandi ejen penipuan skim ini selain menggunakan kereta mewah, selebriti dan agama.

“Biasanya, pesara warga emas suka dengar pelaburan berasaskan agama kononnya boleh dapat tambah pahala dan dapat pula untung berganda. Sebab itulah, saya nasihatkan pekerja makan gaji janganlah buat bisnes selepas bersara jika tiada pengalaman berniaga” katanya.

Dalam hal ini, Shamsuddin menekankan kepentingan supaya modul kebanyakan kursus atau bengkel persaraan terutama untuk bakal pesara kerajaan dirombak semula.

Beliau berkata majoriti program berkenaan sama ada anjuran syarikat atau mana-mana pertubuhan berkaitan begitu gemar menyelitkan modul meminjam duit melalui agensi kerajaan terpilih yang memberi bantuan modal untuk memulakan bisnes kepada bakal pesara.

Walhal, sewajarnya pengisian kursus persaraan ditumpukan kepada pengurusan kewangan dan persediaan menghadapi hari tersebut dengan aktiviti lebih berfaedah.

Tambah beliau, agensi kerajaan gemar mengadakan kursus persaraan yang menyelitkan topik modul keusahawan sedangkan ia tidak sesuai dengan umur peserta yang bakal bersara sama ada satu ataupun lima tahun lagi. Lebih 40 peratus kandungan jadual kursus persaraan bertumpu kepada modul keusahawan.

“Pihak penganjur juga selalu meminta saya menyediakan modul keusahawan yang mengambil satu hingga dua hari kepada bakal pesara tetapi biasanya saya tolak kerana bagi saya ia tidak sesuai. Ia sebenarnya akan mendedahkan golongan pesara kepada jerat skim cepat kaya disebabkan kurang pengalaman dunia bisnes.

“Sebenarnya, apabila kita sudah bersara, ianya bukan masa untuk buat bisnes lagi. Jika kita mahu buat bisnes, sertai dunia bisnes sebaiknya sebelum berusia 45 tahun,” katanya.

JANGKA HAYAT

Golongan pesara perlu lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya kerana agak menyedihkan apabila mereka yang sudah berusia 60 tahun ke atas terpaksa bekerja kembali untuk menyara kehidupan. Apatah lagi untuk membayar hutang disebabkan wang persaraan yang sudah “hangus” akibat skim cepat kaya.

Isu ini juga tidak boleh dipandang ringan kerana berdasarkan statistik jangka hidup manusia telah meningkat. Pada 2010, jangka hayat penduduk lelaki adalah 71.9 tahun manakala perempuan 76.6 tahun. Pada 2015, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan jangka hayat penduduk meningkat kepada 72.5 (lelaki) dan 77.4 (perempuan).

Bayangkan, kalau wang persaraan habis begitu sahaja selepas lima tahun bersara wajib sedangkan seseorang individu itu mungkin dijangka hidup lebih daripada 20 tahun selepas bersara, jadi bagaimana mereka hendak menyara kehidupan?

Sedangkan anak belum tentu lagi dapat menjaga orang tua mereka berdasarkan kepada banyak kes pengabaian ibu bapa yang sering disiar di media elektronik mahupun di dada akhbar.

“Kalau dia masih sihat dan hendak bekerja disebabkan ingin aktif, cergas, tidak ada masalah. Ini yang terpaksa bekerja sebab nak bayar hutang dan tampung kehidupan, sangat menyedihkan,” kata Shamsuddin.

Meskipun cerita sindiket penipuan ini bukannya baharu dan sudah berakar umbi di negara ini sejak tahun 1970an lagi menerusi kemunculan Skim Pak Man Telo, namun masih ramai tidak mengambil pengajaran dari kisah sebelum ini.

Selain faktor tamak, Shamsuddin berkata kejahilan maklumat berkaitan pengurusan dan pelaburan kewangan menyebabkan sesiapa sahaja mudah terjerat dengan skim berkenaan.

Apatah lagi, jenayah penipuan mengutip deposit tanpa lesen ini sentiasa mencari kaedah baharu dari semasa ke semasa bagi menyakinkan masyarakat supaya menyertai skim mereka.

“Cara mereka dekati orang berpendidikan tinggi, kaya, berbeza-beza. Profesor belum tentu tidak jadi mangsa kerana dia hanya arif dalam bidangnya bukannya kewangan,” katanya.

RUJUK PAKAR

Bagi Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria, ada baiknya seseorang individu yang ingin melabur merujuk kepada mereka yang arif atau pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia supaya tidak mudah tertipu.

Masyarakat perlu sedia maklum bahawa hanya institusi kewangan seperti bank, syarikat insurans dan pengendali takaful serta pengurup wang, penyedia perkhidmatan pengiriman wang dan pemborong mata wang (kini dikenali sebagai perniagaan perkhidmatan wang) yang diberikan lesen oleh BNM sahaja dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

Selain daripada itu, sama ada didatangi invidividu tidak dikenali atau rakan lama yang menyatakan mengenai pelaburan, ada kemungkinan besar mereka tidak mempunyai lesen BNM dan merupakan ejen sindiket.

“Pesara perlu sedar bahawa jumlah wang yang banyak yang mereka ada itu tidaklah sebesar yang disangka untuk menempuh zaman persaraan kerana ada kemungkinan lain seperti keperluan perubatan dan kecemasan.

“Jadi, sebaik-baiknyanya, berhati-hatilah jika mahu membelanjakan wang persaraan,” katanya.
-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next