SELANGOR

Rizam mula tugas pengerusi PAC Selangor

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Ketua Pembangkang, Rizam Ismail, memulakan tugas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor, pada awal tahun ini.

Beliau berkata, sudah tiga mesyuarat berlangsung dan dipengerusikannya bermula dengan mesyuarat sulung bersama enam ahli jawatankuasa (AJK) lain bagi menentukan pelan kerja PAC terutama bagi tahun ini.

“Kemudian pada awal April lalu, kita mula panggil Jabatan Audit Negara Negeri Selangor berhubung Laporan Audit Negara Selangor yang dikeluarkan pada tahun lalu membabitkan agensi dan jabatan di negeri ini.

“Hasil perbincangan, kita memutuskan untuk memanggil tiga isu utama yang masih dalam tindakan pada AG Dashboard iaitu Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS),” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar itu berkata, CCSB sudah dipanggil bertemu PAC pada 12 April lalu dan bakal diikuti MAIS dan JPNS dalam tempoh terdekat.

“Ada beberapa isu yang PAC sedang pertimbangkan untuk dimuatkan di dalam laporan yang akan dibentangkan ke dalam sidang Dewan Negeri Selangor akan datang.

“Kita mempunyai sekurang-kurangnya dua bulan untuk siapkan laporan dan PAC komited ia akan siap mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Selain Rizam, PAC turut dianggotai ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi; ADN Sungai Pelek, Ronnie Liu; ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei; ADN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADN Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Jabatan Audit Negara berdasarkan Government Transformation Program (GTP) 2.0 tahun 2015 menyediakan AG Dashboard yang berfungsi menyenaraikan isu berbangkit di dalam Laporan Audit.

Ia bertujuan memudahkan penyusunan isu oleh Kerajaan Negeri terutama PAC bagi melihat atau menyemak isu yang belum diselesaikan.


Pengarang :