RM4 bilion daripada akaun KWAP dimasuk ke akaun SRC | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

RM4 bilion daripada akaun KWAP dimasuk ke akaun SRC

KUALA LUMPUR, 30 APR: Seorang pengurus bahagian di Ambank hari ini mendedahkan wang berjumlah RM4 bilion daripada akaun Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dimasukkan ke dalam akaun SRC International Sdn Bhd pada 2011 dan 2012.

Pengurus Bahagian Kiriman Unit Rentas Ambank di Wisma Amfirst Petaling Jaya, Wedani Senen memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa transaksi pertama wang dimasukkan ke dalam akaun SRC International ialah pada 29 Ogos 2011 melalui empat transaksi.

Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei semasa dirujuk mengenai kemasukan wang melalui sistem RENTAS (Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities) di dalam penyata akaun SRC International dengan nombor akaun berakhir 9736.


Sulaiman: Berdasarkan sistem RENTAS sila jelaskan mengenai kemasukan wang RM2 bilion ini?

Wedani: Melalui confirmation advise, dua bil invois RENTAS, menunjukkan kemasukan wang dari akaun Kumpulan Wang Persaraan ke akaun AmIslamic milik SRC International Sdn Bhd pada 29 Ogos 2011.

Wedani menjelaskan RM2 bilion itu dimasukkan melalui empat transaksi, sebanyak RM500 juta bagi setiap transaksi.

Semasa dirujuk kepada sistem RENTAS berhubung penyata bank SRC berakhir 0650, saksi itu mengesahkan terdapat kemasukan wang RM2 billion dari akaun KWAP ke dalam akaun SRC pada 28 Mac 2012.

Ditanya mengapa transaksi pada 29 Ogos 2011 dilakukan empat kali, saksi itu berkata, had transaksi yang boleh diuruskan oleh jawatan pengurus dan ke bawah melalui sistem bank adalah sebanyak RM500 juta.

Sulaiman: Semasa pemindahan ini, kelulusan pegawai adalah pada had RM500 juta?

Wedani : Ya

Sulaiman: Mengapa dalam satu lagi transaksi, ada RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun SRC tetapi hanya ada satu resit melalui satu transaksi saja?

Wedani : Ini kerana duit masuk daripada KWAP kami terima pada jam 5.40 dan Bank Negara pula tutup pada jam 6 petang, jadi kena masukkan sekaligus jumlah itu.

Sulaiman: Transaksi ini memerlukan ia diluluskan oleh pengurus kanan?

Wedani : Ya.

Sulaiman: Oleh itu kelulusan RM2 bilion ini diurus pengurus kanan dan ke atas?

Wedani : Betul

Sulaiman : Semua transaksi wang KWAP itu berjaya dipindahkan.

Wedani : Ya

Ketika ditanya Sulaiman mengenai peranan RENTAS dan SWIFT, saksi itu berkata RENTAS mengendalikan kemasukan dan pengeluaran duit wang Ringgit Malaysia antara bank-bank di Malaysia manakala SWIFT mengendalikan keluar masuk duit untuk pembayaran di luar negeri

Katanya, sebagai pengurus bahagian RENTAS, beliau akan memastikan semua arahan kemasukan RENTAS akan dikreditkan ke akaun pelanggan atau ke unit lain dan juga memastikan arahan daripada pelanggan diproses pada hari sama.

Sulaiman : Siapa guna sistem RENTAS di Ambank?

Wedani: Remittance center staff, selepas arahan diterima dari cawangan atau dari pelanggan korporat.

Sulaiman: Pelanggan korporat siapa biasanya?

Wedani : Pelanggan VVIP yang mempunyai pengurus hubungan. Mereka juga mempunyai transaksi nilai tinggi sebanyak RM1 juta dan ke atas.

Sulaiman: Pelanggan biasa tidak guna RENTAS?

Wedani: Boleh guna under retail minimum transaksi RM10,000.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next