RM64 juta dimasuk ke akaun peribadi Najib – Pengurus Ambank | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

RM64 juta dimasuk ke akaun peribadi Najib – Pengurus Ambank

KUALA LUMPUR, 24 APR: Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi hari ini mendedahkan sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun semasa milik Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2014 dan 2015.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa daripada jumlah itu sebanyak RM37 juta dimasukkan daripada akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd iaitu syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd.

Uma Devi, yang membacakan penyataan saksinya, berkata, berdasarkan kepada rekod transaksi masuk akaun semasa AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0, menunjukkan RM27 juta dimasukkan ke akaun itu pada 8 Julai 2014.


Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, jumlah sama dimasukkan ke dalam akaun sama milik Najib pada 26 Disember 2014 daripada akaun Ihsan Perdana dan syarikat itu juga memasukkan RM10 juta lagi ke dalam akaun tersebut pada 10 Februari 2015.

“Mengikut Akta Keterangan 1950 di mana saya sahkan sepanjang pengetahuan dan kepercayaan saya semua cetakan dokumen (transaksi penyata akaun bank) dibuat dengan cetakan komputer dan komputer berada dalam keadaan baik,” katanya ketika diminta mengesahkan dokumen itu pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Uma Devi berkata, demikian ketika merujuk penyata ambank milik Najib bernombor 211-202-201188-0 AmPrivate Banking-1My dari tempoh 31 Julai 2013 hingga 9 Mac 2015.

Katanya, Najib menamakan nama utama dalam akaun itu ialah AmPrivate Banking-1My manakala nama Najib diletakkan kemudian.

“Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International) dilantik sebagai pegawai diberi kuasa bagi semua akaun Najib. Ini akan membolehkan Nik Faisal menguruskan akaun Najib di Ambank tanpa perlu merujuk kepada mana-mana akaun secara khusus, juga surat benarkan ambil buku cek dan penyata akaun,” katanya.

Katanya, surat arahan bagi pegawai diberi kuasa dikeluarkan oleh Najib sendiri kepada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, pada ketika itu.

Beliau berkata, surat kebenaran itu membolehkan Nik Faisal mengeluarkan cek bernilai lebih RM250,000 di mana akaun tersebut diberi kemudahan untuk mengeluarkan cek.

Saksi itu berkata, pada 23 Jun 2014, Nik Faisal telah mengeluarkan satu surat arahan supaya RM3 juta dipindahkan daripada akaun Najib bernombor 211-202-2011888-0.

“Daripada jumlah itu,sebanyak RM1 juta telah diarahkan dimasukkan ke akaun peribadi milik Najib bernombor 211-202-201189-8,” katanya.

Katanya, manakala, baki RM2 juta pula dikreditkan ke akaun peribadia Najib yang bernombor 211-202-201190-6.

Uma Devi juga berkata, wang berjumlah RM20 juta juga dipindah keluar dari akaun 211-202-201188-0 dan dimasukkan ke akaun semasa lain AmPrivate Banking-1My milik Najib bernombor 211-202-201190-6 pada 8 Julai 2014.

Beliau menjelaskan, RM3 juta pula dipindah keluar daripada akaun 211-202-201190-6 dan dimasukkan ke dalam akaun semasa Najib bernombor 211-202-201189-8.

“Nik Faisal turut mengeluarkan surat arahan debit mengarahkan Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan untuk memindahkan RM3,282,734.16 daripada akaun Najib dan dikreditkan amaun RM449,586.95 kepada kad kredit Visa Platinum.

“Selebihnya, iaitu RM2,833,147.21 dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum,” katanya.

Terdahulu, saksi itu berkata, RM27 juta dipindah keluar ke Syarikat Permai Binaraya Sdn Bhd pada 29 Disember 2014 melalui arahan pindahan daripada Najib manakala RM10 juta dipindah keluar pada 10 Februari 2015 kepada akaun Najib bernombor 211-202-201190-6.

Saksi itu turut mengesahkan sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya semua dokumen dalam keadaan baik dari segi perjalanan dan seliaan Ambank semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Pada sesi pagi, Uma Devi berkata, RM4 billon dimasukkan ke dalam akaun semasa SRC bernombor 2112022009736 antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

Katanya, RM2 billon dimasukkan ke akaun itu pada 29 Ogos 2011 dalam empat transaksi iaitu RM500 juta setiap satu transaksi manakala RM2 bilion lagi dimasukkan pada 28 Mac 2012.

Najib, 66, yang juga bekas perdana menteri, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu semasa perbicaraan sedang berjalan di mana saksi membacakan penyataan saksinya pada sesi petang, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memohon supaya prosiding ditangguh sebentar.

“Saya tidak tahu tentang saksi itu tetapi saya benar-benar letih dan bosan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan prosiding selama 15 minit sebelum disambung semula pada jam 4.45 petang.

Perbicaraan bersambung esok jam 9 pagi.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next