SELANGOR

RM750,000 lanjut Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 APR: Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau bagi tahun ini dengan peruntukan RM750,000 susulan sambutan menggalakkan diterima tahun lalu.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sejumlah RM250,000 diperuntukan untuk geran Alam Sekitar manakala RM500,000 kepada Teknologi Hijau boleh dipohon badan pengurusan bersama (JMB), badan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat dan sekolah.

“Setiap organisasi atau persatuan yang layak akan menerima pembiayaan sehingga RM5,000 bagi Geran Kecil Alam Sekitar dan RM10,000 Geran Kecil Teknologi Hijau.

“Geran ini akan membiayai program atau projek berkaitan konservasi alam sekitar dan penggunaan teknologi hijau.

“Antara projek yang boleh dilaksanakan adalah penanaman pokok, kitar semula sisa, pendidikan alam sekitar, pemuliharaan air, penjimatan tenaga serta pendidikan dan kesedaran komuniti tentang perubahan iklim,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, hari ini.

Untuk tahun ini, Loy Sian mensasarkan penyertaan 100 peratus susulan pencapaian sekitar 97.7 peratus pada tahun lalu apabila 52 penerima Geran Kecil Alam Sekitar direkodkan dengan pembiayaan sebanyak RM244,357.

Bagi program Geran Kecil Teknologi Hijau, sebanyak 46 penerima direkodkan pada tahun 2018 dengan permohonan sebanyak RM420,726.80 atau 93.5 peratus.

Loy Sian berkata, objektif utama program ini adalah meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kehidupan seharian rakyat.

Menurutnya, permohonan geran dibuat secara dalam talian dengan melayari portal rasmi Kerajaan Negeri www.selangor.gov.my bermula 2 Mei sehingga 31 Mei 2019.

Pemakluman kelulusan permohonan geran kecil ini adalah selewat-lewatnya 17 Jun 2019 secara bersurat atau emel.

“Organiasi atau persatuan perlu melaksanakan program yang diluluskan dalam tempoh 18 Jun sehingga 31 Oktober 2019.

“Mereka perlu mengemukakan laporan pelaksanaan dan bukti perbelanjaan projek selewat-lewatnya 15 November 2019 ke Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.


Pengarang :