NASIONAL

RON97 naik 12 sen, harga RON95 dan diesel kekal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Harga runcit produk petroleum bagi tempoh 20 April sehingga 26 April ini menyaksikan RON95 dan diesel kekal manakala RON97 naik 12 sen seliter kepada RM2.80 berbanding RM2.68 minggu lalu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, pengekalan dua produk petroleum itu menyaksikan harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 sepatutnya naik 12 sen seliter daripada RM2.38 kepada RM2.50 seliter.

“Harga diesel bagi tempoh sama (sepatutnya) naik 7 sen seliter daripada RM2.39 kepada RM2.46 seliter berikutan kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada USD70.98 setong bagi tempoh 11 ke 17 April lalu.

“Namun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan beban kewangan rakyat,” katanya.


Pengarang :