SELANGOR

‘Roti canai terowong’ buka tirai Jelajah Maju Bersama

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APRIL: Pemilik gerai Firdaus Cafe, di Kampung Kanchong Darat terharu apabila Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersarapan pagi bersama penduduk kampung di gerainya.

Abdullah Pangat, 33, menyifatkan kesudian pemimpin nombor satu negeri itu menikmati hidangan istimewa roti terowong di gerainya adalah satu kebanggaan.

“Sebenarnya gerai kami tutup setiap Jumaat tetapi hari ini kami buka khas untuk Menteri Besar merasai sendiri hidangan roti canai terowong yang pernah tular sebelum ini.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan ada pegawai Menteri Besar yang pernah merasai hidangan itu mencadangkan gerai saya,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, antara ramuan roti canai terowong adalah kerang, ayam goreng rangup dan sotong yang digulung di dalam roti canai telur.

Gerai terbabit turut menyediakan pelbagai variasi roti canai, antaranya roti canai paip pecah, raksaksa, mata air, hot, fiedol, mata hari serta rama-rama.

Program bersarapan bersama penduduk sebagai permulaan Jelajah Maju Bersama Daerah Kuala Langat itu menyaksikan Amirudin meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk beramah mesra bersama penduduk setempat.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu, Amirudin turut menunaikan solat subuh bersama penduduk di Masjid As-Solihin.


Pengarang :