RENCANA

Royalti minyak: Penuhi janji perlu dilaksana berhati-hati

KUALA LUMPUR, 28 APR: Ia merupakan perjalanan yang mencabar bagi kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir Malaysia sejak kejayaan bersejarahnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018, apabila gabungan itu memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen.

Hampir setahun selepas kejayaan tersebut, kerajaan PAKATAN yang diterajui oleh ahli politik veteran Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya melaksanakan banyak janji pilihan raya mereka dengan lancar walaupun terdapat tekanan dari pelbagai aspek.

Menjelang PRU14, PAKATAN membuat janji-janji pilihan raya yang termasuk pembaharuan institusi dan menaikkan pembayaran royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak — iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak — daripada lima peratus kepada 20 peratus, yang mempunyai potensi untuk mengubah beberapa akta berkaitan komoditi itu.

Kerajaan Persekutuan turut berjanji untuk melaksanakan mekanisme subsidi petrol dan diesel bersasar untuk kumpulan B40 (pendapatan rendah).

Langkah menguruskan jangkaan dan memenuhi janji-janji itu perlu dilaksanakan secara berhati-hati.

Cadangan rejim petroleum itu berbeza dengan amalan awal untuk Sabah dan Sarawak, yang memperoleh royalti minyak lima peratus setahun berdasarkan pendapatan kasar minyak dan gas yang diraih di kedua-dua negeri itu.

Perlu diketahui bahawa kedua-dua negeri itu telah menerima royalti minyak sebanyak lima peratus sejak 1976 di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974. Sabah dan Sarawak menghasilkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum negara, bernilai kira-kira RM38 bilion pada 2017.

Walaupun harga minyak mentah global rendah pada masa ini, minyak dan gas kekal penting kepada negara berikutan ia menyumbang antara 20 dan 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Selama berdekad, PDA telah menjadi tonggak kepada industri minyak dan gas negara dan undang-undang yang mewujudkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang mendapat hak terhadap sumber minyak dan gas di Malaysia.

Walaupun pertikaian boleh dibuat terhadap permintaan daripada negeri-negeri pengeluar minyak untuk bahagian pendapatan petroleum yang lebih tinggi, merupakan hakikat bahawa negeri-negeri ini kurang maju berbanding wilayah ekonomi utama di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Setahun selepas PAS mengambil alih Terengganu pada 1999, royalti itu ditukar kepada wang ehsan, yang kemudiannya disalurkan melalui jabatan pembangunan persekutuan, manakala Kelantan telah meminta royalti selama bertahun-tahun tetapi hanya diberikan “wang ehsan” sejak 2010.

Pada September 2018, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan Persekutuan akan memutuskan dalam tempoh enam bulan tentang bagaimana ia dapat mengeluarkan 20 peratus daripada royalti minyak kepada semua negeri pengeluar minyak.

Beliau menegaskan perkara itu perlu mengikut PDA 1974, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

Empat kerajaan negeri pengeluar minyak mendesak untuk mendapatkan 20 peratus pembayaran berdasarkan hasil kasar minyak yang dikeluarkan di negeri tersebut, dengan yang paling bersuara daripada empat negeri itu ialah Sarawak.

Berhubung perkara itu, Dr Mahathir menegaskan sebarang kadar yang diterima oleh negeri-negeri itu perlu dilakukan tanpa menjejaskan Petronas.

Negeri terbesar di Malaysia telah menggesa kepada syarikat minyaknya sendiri, menubuhkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) pada Ogos 2017, dan mempersoalkan kesahihan langkah 2012 untuk mengehadkan perairan wilayahnya kepada hanya tiga batu nautika dari pantainya, daripada sebelum ini 12 batu – di mana ia boleh menuntut kebanyakan deposit hidrokarbonnya.

Petros bertanggungjawab kepada mengawal selia pengeluaran huluan, ditadbir di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958. Ia turut mengawal selia pengedaran gas di bawah Ordinan Pengedaran Gas 2016.

PAKATAN turut berjanji untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama membentuk Malaysia, sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963, membawa kepada memberi kedua-dua negeri itu lebih autonomi ke atas beberapa kawasan yang kini dikawal oleh kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan), yang dibentangkan oleh Dr Mahathir untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 9 April, gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga selepas Gabungan Parti Sarawak dan anggota Parlimen pembangkang lain tidak mengundi.

Penolong Profesor Pengurusan Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliveira berkata walaupun jika pindaan telah diluluskan, hubungan dalam perkara tertentu antara kerajaan Persekutuan serta Sabah dan Sarawak masih perlu diusahakan.

Beliau berkata dari segi lapangan minyak dan gas di Malaysia yang telah diterokai, perlu diambil daripada sumber kos yang lebih tinggi, iaitu lapangan marginal dan luar pesisir laut dalam.

“Tanpa tambahan pelaburan dalam penemuan baharu, pengeluaran minyak dan gas di Malaysia akan merosot sebanyak 35 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang,” kata Lima de Oliveira, yang juga felow kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi dalam temu bual kepada Bernama baru-baru ini.

Susulan lapangan marginal dan luar pesisir laut dalam lebih mahal, cukai yang tinggi menjadikan prospeknya tidak menguntungkan kepada industri.

Tambahan pula, industri minyak global ke arah projek dengan masa yang singkat, seperti penerokaan syal di Amerika Syarikat, dan mengelak projek luar pesisir laut dalam yang boleh mengambil masa tujuh tahun daripada penerokaan awal hingga pengeluaran, jika minyak atau gas dijumpai.

“Hari ini di Malaysia, hanya lebih sedikit daripada 10 peratus daripada pengeluaran dari telaga laut dalam. Terdapat potensi untuk mengekalkan pengeluaran, tetapi ia memerlukan persekitaran perniagaan yang baik,” kata Lima de Oliveira.

Sementara itu, kerajaan Persekutuan telah memenuhi janji 100 hari untuk menstabilkan harga minyak dalam pasaran tempatan, menggunakan subsidi untuk mengekalkan harga runcit petrol dan diesel.

Dalam perkembangan lain, Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM54 bilion kepada kerajaan pada 2019, termasuk dividen khas sebanyak RM30 bilion. Syarikat minyak nasional itu, yang mengumumkan kenaikan 12 peratus perolehan bagi tahun kewangan 2018 kepada RM251 bilion, telah membayar sebahagian dividen sejak Januari lepas.

Pada November tahun lepas, Petronas mengumumkan ia akan membayar tambahan RM30 bilion dividen khas dalam Belanjawan 2019 untuk membantu kerajaan menyelesaikan bayaran balik cukai pendapatan serta Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak RM37 bilion.

Selepas mulanya memilih penyelesaian di mahkamah, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak telah beralih ke meja rundingan. Syarikat minyak nasional itu mengadakan perbincangan yang aktif dengan Petros untuk menghasilkan aturan kerja yang dapat diterima oleh semua pihak yang berkaitan dengan aktiviti minyak dan gas di negeri itu.

Pada Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding bagi menentukan Petronas merupakan satu-satunya pihak berkuasa untuk semua industri huluan minyak dan gas di negara ini, termasuk Sarawak.

Kerajaan menjangka untuk memuktamadkan mekanisme subsidi petrol dan diesel bersasar selewat-lewatnya pada Julai ini. Langkah itu akan membolehkan kerajaan mengenal pasti vendor dan membuat pelarasan kepada senarai penerima yang layak.

Lima de Oliveira berkata terdapat janji-janji politik yang popular tetapi mempunyai ‘harga yang tinggi’ dan wajar ia dinilai semula.

“Misalnya, subsidi harga minyak bukan suatu yang menyokong jika mahu menggalakkan kecekapan bahan api, mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Selain itu, mereka mempunyai kos fiskal yang tinggi dan mengurangkan pendapatan Petronas. Terdapat pelbagai cara untuk membantu rakyat, termasuk mereka yang tidak mempunyai kenderaan dan membayar untuk subsidi juga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lima de Oliveira berkata kerajaan telah membuat langkah penting dengan mendedahkan salah laku dan salah pengurusan yang lepas, tetapi tiada pembaharuan institusi yang dibuat untuk mencegah penggunaan pengaruh politik ke atas keputusan perniagaan, komposisi Lembaga Pengarah dan tahap ketelusan.

Beliau menegaskan proses penswastaan yang terbuka dan telus dapat membantu mengurangkan pengaruh kerajaan dalam ekonomi.

“Selain itu, ia dapat meningkatkan pendapatan untuk membayar hutang kerajaan. Berdasarkan kepentingan sektor syarikat berkaitan kerajaan kepada ekonomi Malaysia, agenda pembaharuan institusi ini perlu mendapat lebih perhatian dan dapat menyumbang kepada tadbir urus yang baik dalam tempoh jangka panjang dan mengelak memberi bantuan kewangan pada masa depan seperti yang berlaku sekarang disebabkan masalah sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :