SELANGOR

Rumah Idaman terima sambutan hangat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 APR: Lebih 6,000 nama telah mendaftar bagi memohon pembelian Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman), sejak ia mula dilancarkan pada 6 April lalu.

Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin berkata, sambutan menggalakkan itu mengejutkan pihaknya selain ada permintaan daripada penduduk supaya rumah yang sama dibina di kawasan lain.

“Formula pinjaman perumahan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut merancakkan lagi pembelian rumah oleh kumpulan anak muda.

“Malah kita berjaya menggerakkan ekosistem yang mana pembeli, pemaju dan agensi pembiayaan berminat untuk merancakkan industri pembinaan rumah mampu milik buat rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui twitter berkata, ini membuktikan projek itu mendapat respon positif daripada rakyat Selangor.

Projek Rumah Idaman adalah perkongsian pintar antara Kerajaan Selangor dan swasta menggunakan teknologi berinovasi tinggi serta kerjasama erat bersama institusi kewangan.

Ia menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Menariknya, setiap unit rumah Idaman itu dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Difahamkan, projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.


Pengarang :