NASIONAL

Rumah Penyayang Tun Abdul Razak terima cek RM400,000 untuk kebajikan

KUALA LUMPUR, 22 APR: Seorang daripada empat pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak yang terletak di Pekan, Pahang hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa cek bernilai RM400,000 diterima oleh organisasi itu pada 2015 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan kebajikan.

Abdul Munir Othman, 52, yang juga Pengarah Syarikat Tanjung Semarak Sdn Bhd, berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada cek itu diterima di Kementerian Kewangan atau Pejabat Perdana Menteri.

“Cek itu atas nama Pemegang Amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak,” katanya sambil menambah Najib merupakan penaung rumah penyayang berkenaan.

Saksi berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari keenam.

Muhammad Saifuddin: Adakah dana RM400,000 kamu minta atau macam mana? Saksi menjawab “saya minta.”

Muhammad Saifuddin: Dana itu digunakan untuk tujuan apa?

Muhammad Saifuddin: Dana itu digunakan untuk pembayaran gaji, (membeli) barang makan dan perbelanjaan pengangkutan budak sekolah.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, saksi berkata, semua dana berkenaan digunakan untuk kebajikan, bukannya kepentingan peribadi.

Harvinderjit: Dana yang diterima itu digunakan untuk perbelanjaan asrama, pakaian, makanan anak-anak yatim, pembelian buku sekolah? Abdul Munir menjawab “Ya.”

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :