NASIONAL

Rumah Terbuka Vaisaikhi Peringkat Kebangsaan di KL – Gobind

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 28 APR: Masyarakat Sikh di Malaysia akan diraikan dalam satu Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi Peringkat Kebangsaan di Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bagaimanapun berkata, lokasi dan tarikh majlis itu akan diumumkan dalam jangka masa terdekat selepas perkara itu diputuskan hari ini.

“Kita sudah diberikan kelulusan untuk adakan acara ini dan saya akan buat pengumuman selepas tarikh ditetapkan esok.

“Saya yakin majlis ini akan di adakan sama ada 4 atau 5 Mei nanti dan lokasinya di pusat Bandaraya Kuala Lumput tetapi masih belum diputuskan lokasi tepatnya,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi Peringkat Negeri Selangor di Padang Chetty di sini, malam tadi.

Gobind turut menyeru orang ramai daripada semula lapisan masyarakat dan kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu nanti.

Katanya, majlis rumah terbuka itu merupakan salah satu cara kerajaan menunjukkan penghargaan kepada kaum Sikh.

“Walaupun masyarakat Sikh di Malaysia ini kecil tetapi kita turut memainkan peranan membangunkan Malaysia ini di mana kita memiliki pakar dalam pelbagai bidang,” katanya.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi peringkat Selangor berlangsung meriah dengan pelbagai acara menarik.

Majlis yang dihadiri lebih 300 hadirin itu menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Sikh.

Turut hadir EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau Veraman dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.


Pengarang :